The Real Of Janggut

Sunday, August 2, 2009

Karnival “Sehari Bersama IKIM.Fm” Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-8 Radio IKIM.Fm


IKIM.fm telah dirasmikan pada 6 Julai 2001 oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia waktu itu. Radio IKIM.fm ke udara 24 jam sehari melalui 12 pemancar ke seluruh negara. Dengan cogankata 'Pilihan Utama Anda' stesen ini berusaha menyebarkan kefahaman Islam dan mendidik pendengar menerusi faham 3M iaitu Menyampaikan Maklumat, Mendidik dan Menghibur. Pada masa ini IKIM.fm menyiarkan rancangannya dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Bahasa Arab.

IKIM.fm. tampil dalam industri penyiaran negara dengan penuh tanggungjawab untuk menjadi rangkaian maklumat, penerangan dan hiburan yang seimbang dalam usaha mendidik dan merangsang akal fikiran serta jiwa pendengar.

Bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-8 stesen radio IKIM.fm, pelbagai acara menarik disusun khas sempena Karnival "Sehari Bersama IKIM.fm" . Semua acara istimewa ini akan berlangsung pada 8 Ogos 2009 (Sabtu) di Dewan Besar dan perkarangan IKIM bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

Karnival ini dianjurkan bagi menghargai sokongan pendengar setia IKIM.fm yang meletakkan IKIM.fm kekal di tangga ke-8 daripada 22 stesen radio berbahasa Melayu dalam kajian terkini oleh Nielsen. IKIM.fm juga berjaya meningkatkan bilangan pendengar setianya sebanyak 20, 000 berbanding penurunan bilangan pendengar setia yang dicatat oleh stesen-stesen lain. Kajian Nielsen juga menunjukkan tiga kelompok pendengar utama IKIM.fm adalah golongan remaja dan penuntut yang berusia dari 10 hingga 19 tahun, surirumah dan golongan profesional, pengurus, eksekutif dan lain-lain. (Profesional, Manager, Executive & Business (PMEBS)

Antara pengisian Karnival "Sehari Bersama IKIM.fm ialah acara untuk seisi keluarga, acara untuk kanak-kanak seperti pertandingan mewarna, persembahan badut dan Si Kecil Bercerita, sukaneka bersama penggiat seni, Mari Menjawab Kuiz IKIM.fm, demo pemakaian tudung Muslimah, Silat Cak Lempong, marhaban bersama artis, dan acara uji bakat penyampai IKIM.fm

Karnival "Sehari Bersama IKIM.fm" bakal dimeriahkan lagi dengan persembahan secara langsung artis-artis nasyid terkemuka tanahair, seperti kumpulan Rabbani, Hijjaz, UNIC, In-Team, Hafez Hamidun, Raihan, Nazrey Johani dan ramai lagi. Semua acara yang disediakan ini memberi peluang kepada khalayak ramai untuk hadir mengikutinya di Dewan Besar IKIM, Jalan Duta, Kuala Lumpur .

IKIM.fm meneruskan rangkaian pengisian tetapnya sepanjang sambutan ulang tahun ke-8 yang akan dipersembahkan dengan lebih segar, sesuai dengan cara tersendiri, dan akan terus berusaha menjadi salah satu radio tempatan terbaik yang bukan sahaja mengisi siarannya dengan hiburan yang bercorak dakwah mahupun pendidikan yang dinilai dan dipilih berdasarkan kewajarannya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pendengar. Kami akan terus berusaha untuk memantapkan stesen kami agar kekal menjadi nombor satu di hati anda.

No comments:

Post a Comment